LEAN Healthcare ke 133 hospital awam
Johor Bahru: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang memperluaskan sistem pengurusan LEAN Healthcare ke 133 hospital awam di seluruh negara susulan kejayaan projek perintis yang dijalankan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, inisiatif LEAN Healthcare terbukti memendekkan waktu menunggu pesakit mendapatkan rawatan dan mengatasi isu kesesakan selain sudah diamalkan di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.
“Saya gembira dan berbangga dengan komitmen kementerian untuk melancarkan LEAN Healthcare ke semua 133 hospital kerajaan di seluruh negara.
“Ini susulan kejayaan projek perintis LEAN Healthcare di HSI yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu di Klinik Pakar Ortopedik dan Pusat Rawatan Onkologi dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai perunding,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara Bersempena Pelaksanaan Inisiatif LEAN Healthcare di HSI di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM Datuk Farida Mohd Ali dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yakub.
Dr Ali berkata, setakat ini projek LEAN Healthcare turut dilancarkan di lima lagi hospital iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sejak awal tahun ini selain Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

DR Ali (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Ketua Jabatan Ortopedik, Dr Saadon Ibrahim (tiga dari kiri) ketika lawatan ke HSI di Johor Bahru, semalam.
