CRM Sasar Pacu Pertumbuhan Mapan Dengan Kaji Selidik Baharu – BERNAMA
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Clinical Research Malaysia (CRM) menjangka memacu pertumbuhan mapan jangka panjang sekiranya ia berjaya memperoleh 300 kaji selidik baharu setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Akhmal Yusof berkata syarikat itu akan menjadi mapan dengan bajet RM10 juta.
“Menjelang 2020 kami menjangkakan lebih banyak kaji selidik dan bilangannya akan meningkat. Jika kami mencapai 300 (kaji selidik baharu) jumlah wang yang kami akan dapat daripada mereka akan dapat menampung kami.
“Buat masa ini, kami masih bergantung kepada kerajaan bagi perbelanjaan operasi kami,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Industri CRM 2016, di sini, Rabu.
Dr Akhmal berkata CRM akan sentiasa mencari peluang perkongsian dengan pihak-pihak yang berminat untuk membawa masuk penyelidikan ditaja industri (ISR) ke negara ini.
CRM, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan, diperbadankan pada Jun 2012 untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi global pilihan bagi ISR.
Setakat ini, Malaysia memiliki 80 tapak ujian ISR, terdiri daripada gabungan hospital awam dan swasta yang diluluskan oleh kementerian.
Beliau berkata selain mencari pihak-pihak baharu untuk dibawa masuk ke tapak ISR, syarikat itu merancang mengembangkan yang sedia dan dan melengkapkan mereka dengan prasarana yang lebih baik bagi menyokong keperluan ISR.
Pada masa hadapan, beliau berkata CRM akan memformalkan kod tata laku bagi pemain industri.
“Kami menjangka memuktamadkan garis panduan itu dalam separuh pertama tahun ini,” katanya.
— BERNAMA
Our heartfelt gratitude to the industry, ministry’s agencies & media for attending CRM Industry Dialogue 2016/1
Posted by Clinical Research Malaysia on Wednesday, March 16, 2016