Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Akhmal Yusof berkata, ini adalah sejajar dengan matlamat agensi di bawah Kementerian Kesihatan tersebut untuk tidak bergantung kepada kerajaan dan sebaliknya mendapatkan dana penyelidikan dari pihak industri.

Katanya, syarikat yang mempunyai 48 klien termasuk 35 dari syarikat multinasional berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk ISR tidak kira bagi syarikat tempatan dan luar negara.

“Bagi menjayakan ini kami perlu menguatkan lagi promosi sama ada di dalam dan luar negara. Oleh itu, usaha yang kami lakukan adalah berjumpa dengan pembuat keputusan dalam syarikat di peringkat global bagi menarik mereka membuat kaji selidik di negara ini.

“Fokus kami adalah untuk menjana kewangan supaya kami dapat membantu penyelidikan klinikal serta melatih lebih banyak doktor-doktor yang menjalankan penyelidik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Akhmal berkata, agensi yang diwujudkan dibawah Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) tersebut menyasarkan menjana pendapatan sebanyak RM500 juta, menjana 1,000 ISR dan mewujudkan 1,000 tenaga kerja berkema­hiran tinggi menjelang 2020.

Sejak ditubuhkan pada Jun 2012 hingga 2015 kata beliau, CRM telah menjalankan 874 kaji selidik termasuk kajian yang masih dijalankan melibatkan klien dari syarikat antarabangsa seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun.

“Pekerja mahir yang telah kita lahirkan sehingga adalah sebanyak 1,100. Ini termasuk mereka yang bekerja di CRM, hospital, penyelidik, swasta, syarikat multinasional dan organisasi penyelidikan kontrak.

“Jadi, dari segi pekerja mahir kami telah pun mencapai petunjuk pres­tasi utama (KPI) untuk 2020. Saya yakin sekiranya kita benar-benar fokus dalam mempromosikan ISR ini mungkin ia dapat dicapai lebih awal dari sasaran,” ujarnya.

Tambahnya, CRM yakin dapat mencapai sebanyak 300 ISR baharu setiap tahun menjelang dengan segala promosi yang dilaksanakan.